Madrasah Tahfiz Al Amani yang telah memperolehi pendaftaran penuh dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan No Perakuan Pendaftaran 13S(2)5/11 & diiktiraf sebagai pusat bertauliah SLDN oleh Jabatan Pendidikan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia untuk Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Pengajaran Tahfiz Tahap 3, adalah sebuah madrasah tahfiz integrasi dan berusaha ke arah sebuah pusat latihan kemahiran bagi “Pembangunan Modal Insan” bersama institusi & ma’ahad tahfiz Al-Quran di Negeri Selangor di bawah naungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran di Negeri Selangor (PITAS). Niat & kesungguhan penubuhan Madrasah Tahfiz Al Amani ini telah direalisasikan dengan menyewa satu lot bangunan dengan perjanjian rasmi yang dicop oleh Jabatan Hasil selama lima tahun & juga pembelian satu lot bangunan di Taman Mawar, Kampung Sungai Lang Tengah, Banting, Kuala Langat, Selangor.
Madrasah Tahfiz Al Amani telah ditubuhkan pada 2019 & beroperasi sejak 2020 sebagai madrasah tahfiz dan pendidikan berterusan untuk memangkin kea rah melahirkan huffaz profesional. Madrasah ini bermula di sebuah rumah kampung di Lot 756, Susur Jalan Turi, Kanchong Darat dengan jumlah pelajar seramai 8 orang & sentiasa bertambah sehingga kini walaupun menghadapi tempat yang terhad. Kumpulan sasaran utama adalah pelajar-pelajar tahfiz Al-Quran yang berumur seawal 13 tahun hingga 15 tahun. Madrasah ini mendapat sokongan guru-guru tahfiz Al-Quran dan penduduk setempat yang merupakan para pencinta ilmu-ilmu Al-Quran dan juga Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS).
Madrasah Tahfiz Al Amani yang berteraskan Al-Quran berkeyakinan untuk meletakkan dan memartabatkan para hamlatul Quran di satu kedudukan yang tinggi, dihormati & penuh integrity, insya Allah. Justeru, Madrasah Tahfiz Al Amani berhasrat melaksanakan program hafazan & Latihan pada beberapa peringkat seperti Sijil Khatam, Ithbat, Syahadah dan Persijilan Kemahiran yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia ke arah melahirkan golongan “Huffaz Profesional” yang kompeten di dalam masyarakat masa akan datang.